HUKUM Membayar Zakat tidak melalui Lembaga Zakat



ANTARA soalan yang sering dikemukakan kepada pegawai zakat ialah: Bolehkah saya mengagih sendiri zakat? Untuk menjelaskan soalan ini, ada huraiannya. Samalah seperti orang bertanya, solat tanpa memakai baju sekadar berkain pelekat bagi orang lelaki, adakah sah atau tidak? Jawapannya mungkin sah mungkin tidak. Maka, apakah alasannya? Apakah hujahnya?
Zakat adalah ketetapan Allah SWT. Ia adalah rukun Islam. Menunaikannya mestilah mempunyai kaedah yang khusus. Kaedah ini samalah apabila kita mahu mendirikan solat. Adakah boleh kita mendirikan solat mengikut kehendak hati kita sendiri. Solat Zuhur empat rakaat kita pendekkan sahaja kepada dua, atau takbiratul ihram yang berbahasa Arab kita tukarkan ke bahasa Inggeris. Bolehkah?

Dalam mendefinisikan zakat, ulama secara jelas menyebutkan kalimah ‘tertentu’. Zakat adalah harta-harta tertentu yang dikeluarkan dengan syarat-syarat tertentu dan diberikan kepada asnaf-asnaf yang tertentu. Terdapat tiga kali kalimah ‘tertentu’ dalam definisi zakat menurut syariat. Jelaslah, bahawa zakat adalah satu ibadat yang khusus. Maka, ia perlu difahami dalam melaksanakannya. Hakikat faham inilah yang mungkin tiada pada majoriti orang Islam kini. Sebab itulah, Nabi Muhammad SAW awal-awal lagi menyampaikan pesan: “Seorang yang faqih (faham agama) itu lebih berat (susah) bagi syaitan (untuk merosakkannya) berbanding seribu orang ahli ibadah (yang jahil).” (riwayat at-Tirmizi)

Kenapa? Kerana dengan faham dalam agama, kita tahu meletakkan keutamaan. Kata Dr. Yusuf Al-Qardhawi, ada fiqh al-awlawiyatnya. Maka, kita tidak tersasar dalam tindakan dan tidak rugi dalam beramal.

Berbalik kepada isu asas, bolehkah zakat diagihkan sendiri? Menurut ketetapan Allah SWT, zakat hendaklah dikeluarkan kepada lapan asnaf yang berhak. Al-Quran menerusi surah at-Taubah ayat 60 menggariskan secara jelas, lapan golongan yang layak dititipkan zakat kepada mereka iaitu; fakir, miskin, amil, mualaf, gharimin, riqab, fi sabilillah dan ibnu sabil. Maknanya, ibu tunggal, anak yatim, orang cacat dan warga emas tidak termasuk dalam lapan golongan di atas.

Inilah yang kadang kala menimbulkan khilaf dan kekeliruan kepada umat Islam. Ada yang mahu memberikan wang zakat mereka kepada anak yatim di kampung, rumah anak yatim, ibu tunggal, orang cacat dan sebagainya lagi.

Sebenarnya, anak-anak yatim sama ada yang tinggal di rumah sendiri atau mendiami rumah anak yatim bukanlah asnaf. Ini kerana, ada anak yatim yang kaya lantaran mempusakai wang simpanan ibu bapa yang banyak. Sesungguhnya, mereka tidak layak menerima zakat, kecuali mereka adalah anak yatim yang miskin. Mereka layak kerana miskinnya itu, bukan kerana yatimnya. Begitu juga, sebuah rumah anak yatim tidak layak mendapat wang zakat; melainkan atas sandaran ia rumah anak yatim yang miskin atau kerana rumah kebajikan itu dalam proses meningkatkan kemudahannya. Maka, ia layak bukan kerana yatimnya tetapi kerana atas alasan meningkatkan kemudahannya, seperti penyediaan surau, perpustakaan, bilik asrama dan sebagainya yang boleh dikategorikan dalam kelompok asnaf fi sabilillah.

Di samping itu, ada juga kes orang Islam yang mahu memberikan sendiri wang zakat kerana mahu berasa puas. Sesungguhnya, perasaan puas itu adalah subjektif. Ada orang puas setelah melihat kesan wang zakat kepada asnaf, seperti melihat ribuan pelajar ditaja melanjutkan pelajaran dengan wang zakat. Namun, ada pula jenis orang yang merasa puas apabila melihat ‘ain wang zakat bertukar tangan. Selalunya, kelompok kedua inilah yang mahu mengagihkan sendiri. Mereka puas bila melihat orang susah itu tersenyum gembira mengira duit atau puas melihat kampit-kampit beras bertukar tangan, mendengar sendiri lirih syukur si daif, ucapan hamdalah (alhamdulillah) dan terima kasih yang mungkin mereka rasa, dapat meningkatkan nilai takwa mereka kepada Ilahi.

Sekali lagi kita mengajak umat Islam berfikir sebelum memberi. Zakat mempunyai roh dan falsafah dalam perlaksanaannya. Menurut ulama Islam seperti apa yang digariskan oleh Syed Sabiq di dalam kitabnya, “Di antara tujuan zakat ialah memberikan kecukupan dan menutup keperluan si miskin. Maka hendaklah mereka (orang-orang miskin) diberikan zakat sejumlah yang dapat membebaskannya daripada kemiskinan kepada kemampuan, daripada keperluan kepada kecukupan buat selama-lamanya.” (Fikih Sunnah, jilid 3, halaman 87).

Maknanya, apabila diberikan kepada asnaf zakat, khususnya fakir dan miskin hendaklah bersifat memenuhi keperluan mereka. Dalam erti kata lain, zakat bermaksud memberikan bantuan secara sistematik dan bermatlamat. Ia bukan sekadar memberikan keringanan dalam tempoh sehari atau sebulan dan kemudian penerimanya kembali jatuh miskin. Bahkan matlamatnya adalah mengeluarkan mereka dari lembah kemiskinan.

Sebab itu, setiap orang Islam wajar menyedari bahawa, di dalam setiap sen wang zakat yang mahu kita hulurkan, ada lapan asnaf yang berhak di dalamnya. Bahkan menurut pandangan Imam Syafie di dalam kitabnya: “Apabila pemilik mahu membahagikannya (zakat) sendiri ataupun melalui wakilnya, dia wajib membahagikannya sekurang-kurangnya kepada tiga orang daripada setiap golongan (asnaf) sekiranya bilangan mereka tidak dapat dikira.” (Fiqhul Manhaji, halaman 467).

Katakanlah kita mengambil lapan asnaf, ia bermakna, jika kita mempunyai RM80, maka setiap asnaf yang lapan berhak mendapat habuan RM10. Kita tidak boleh mengingkarinya, kerana ia adalah ketetapan Allah SWT. Maka, cuba bayangkan jika kita hanya dikenakan zakat RM800 setahun, maka dengan pembahagian lapan asnaf itu dengan sendirinya akan mengecilkan amaun zakat bagi setiap asnaf. Asnaf fakir dan miskin hanya mendapat RM100.

Maka, soalan yang patut ditanya kepada diri kita sendiri, cukupkah RM100 bagi si fakir? Dengan kenaikan kos sara hidup, RM100 itu paling lama bertahan hanya seminggu. Diulang, hanya seminggu. Maka, adakah pemberian sendiri wang zakat RM100 itu memenuhi kriteria roh dan falsafah zakat yang disebutkan di atas?

Atas pelbagai hujah di atas, maka Islam telah menyediakan garis panduan yang terbaik di dalam menunaikan zakat. Ia boleh disabitkan kepada hujah naqal mahu pun akal. Al-Quran dan hadis adalah hujah kukuh yang tidak mampu disangkal. Hujah akal juga menunjukkan, zakat hanya mampu berperanan secara efektif bila ia dikumpulkan dalam dana yang besar dan dijana pula secara sistematik. Oleh itu, mengeluarkan zakat kepada amil adalah lebih tepat dan menepati saranan Islam.
Ya, amil atau pengurus zakat adalah satu pekerjaan yang jelas disebut di dalam dalil naqli. Perkataan amil misalnya ada dinyatakan di dalam al-Quran, iaitu pada ayat ke-60 surah at-Taubah, Allah SWT menyatakan: Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk para fakir, miskin, amil (para pengurus zakat)…

Begitu juga di dalam hadis, banyak menjelaskan peranan amil. Bahkan di dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: Layanilah para petugas zakat (amil) itu dengan baik!
Bahkan tradisi ijtihad di kalangan ulama juga bermula saat Muadz bin Jabal dihantar nabi menjadi gabenor, sekali gus amil di Yaman. Perbualan lanjut antara Muadz dan Nabi Muhammad SAW jelas menggambarkan bahawa, Muadz adalah gabenor dan amil yang dilantik Nabi SAW bagi menjalankan pentadbiran, termasuk mengutip zakat dan mengagihkannya kembali di kalangan orang-orang miskin. Sabda baginda: Khabarkanlah kepada mereka (penduduk ahlul kitab Yaman) bahwa Allah mewajibkan ke atas mereka zakat, yang diambil harta itu daripada kalangan orang-orang kaya dan diserahkan kepada fakir miskin di antara mereka. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Hari ini, atas dasar maslahah ummah dan demi memaksimumkan potensi zakat, maka zakat telah diinstitusikan pengurusannya. Hari ini juga, para amil dilantik oleh pemerintah dan diinstitusikan. Rakyat pula diminta (diperintahkan) menyalurkan zakat mereka kepada institusi zakat. Maka lahirlah organisasi zakat yang dinamakan pusat zakat atau lembaga zakat dan sebagainya.

Bahkan di peringkat dunia sudah ditubuhkan Lembaga Zakat Antarabangsa. Kesemua institusi ini berperanan menjalankan kutipan dan mengagihkan wang zakat. Ia adalah core business zakat. Namun, ia dijalankan secara lebih teratur, terancang, sistematik dan sentiasa dipantau keberkesanannya. Akhirnya, potensi zakat dapat digembleng dan dimaksimumkan demi kebaikan umat Islam.

Natijahnya apa? Izinkan saya memetik kenyataan Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd. Tamyes Abdul Wahid: “Sah mengeluarkannya sendiri. (Namun) zakat adalah ibadah malliyah (benda) yang mempunyai dimensi dan fungsi ekonomi juga solidariti sosial. (Ia juga bersifat) kemanusiaan dan keadilan, pembuktian persaudaraan Islam, pengikat kesatuan ummah dan pengikat batin antara kaya dan miskin. Prinsip dan falsafahnya universal… hari ini, ia diuruskan oleh institusi yang dipertanggungjawabkan. (Maka) agihan akan dilaksanakan secara lebih meluas, menyeluruh dan mengambil kira keperluan setiap asnaf yang ada.”

Kenyataan di atas adalah jauh lebih lunak daripada kita menyinggung isu fatwa, kerana di Malaysia, adalah jelas diputuskan oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, bahawa adalah ‘berdosa’ walaupun sah mengeluarkan sendiri zakat. Ia berdosa kerana mengingkari arahan ‘Ulil Amri’ (pemerintah), sedangkan mematuhi arahan pemerintah dalam soal ketaatan adalah wajib di sisi Islam. (Rujuk Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bab Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian tahun 2006).
loading...

0 Response to "HUKUM Membayar Zakat tidak melalui Lembaga Zakat"

Post a Comment