PENGGEMAR MAKANAN SEGERA PERLU AMBIL TAHU!!!!

Kongsikan di


Makanan proses ataupun makanan segera seringkali menjadi santapan setiap orang saban waktu. Ini kerana penyediaan dan kebolehdapatannya sungguh mudah dan ringkas sesuai dengan kamus hidup kita yang sibuk dengan pelbagai kerja harian. Namun kita sendiri tidak sedar sejauh mana ia akan menyumbang kebaikan kepada kesihatan kita. Makanan segera bukan hanya yang terdapat di mana- mana restoran makanan segera tetapi juga makanan terproses yang siap untuk dimakan tanpa melalui proses memasak yang lebih lama dan memerlukan kemahiran memasak. Ia mungkin terdiri daripada makanan dalam tin (ready to eat), makanan yang berasaskan corak pemakanan barat seperti ‘hotdog', ‘burger' dan sebagainya serta makanan sejukbeku. Keperluan kepada makanan segera semakin ketara kini kerana masyarakat kita pada hari ini lebih cenderung untuk bergerak pantas setiap masa.
Makanan segera merupakan makanan yang mengandungi kurang khasiat pemakanan. Ia juga memberi kesan yang kurang baik kepada kesihatan. Jika ia dijadikan hidangan yang hanya dinikmati sekali sekala, makanan tersebut kurang memudaratkan. Tetapi apa yang dikhuatiri jika makanan segera diambil secara kerap, ia bakal menimbulkan kesan buruk dari segi pemakanan. Tanpa kita sedari, ia akan mendedahkan kepada kita dengan pelbagai penyakit. Antaranya kerosakan gigi, penyakit kencing manis, sembelit, ‘obesiti', tekanan darah tinggi, pembuluh darah tersumbat, penyakit jantung dan juga kanser usus.
Bebanan kerja dan kekangan waktu mendorong sebilangan orang menjadikan makanan segera sebagai pilihan. Lagipun ia cukup mudah diperolehi. Restoran makanan segera kini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Ini kerana beberapa unsur yang menggalakkan perkembangannya seperti perkhidmatan segera yang ditawarkan, tempat yang menyenangkan, persekitaran yang bersih dan nyaman serta harga yang berpatutan membentuk ciri- ciri restoran makanan segera yang menjadi pilihan orang ramai masa kini. Bagi makanan dalam tin pula, orang ramai boleh membelinya secara pukal di pasaraya. Jika tiada masa, ia mudah dibuka dan dimakan terus atau dipanaskan sekejap. Secara keseluruhannya, makanan segera boleh dikatakan sihat kerana ia membekalkan pelbagai khasiat yang diperlukan jika kita bijak memilihnya. Tetapi kandungan lemak tepu, garam dan kalori dalam makanan segera kegemaran ramai adalah tinggi berbanding kandungan vitamin A dan  vitamin C atau kalsium yang rendah. Justeru, penting bagi kita meneliti maklumat pemakanan mengenai makanan segera sebelum mengambilnya kerana ia membantu kita membuat pilihan. Kita juga diingatkan jangan mudah terpedaya dengan isi kandung hidangan yang ditawarkan semata-mata kerana nilai perbezaan harga hanyalah RM1. Ini bermakna, jika hidangan yang diambil lebih besar bermakna kita cenderung mengambil lebih tinggi kalori, lemak, kolesterol dan garam. Kita juga perlu memikirkan apakah tubuh kita berupaya membakar kalori berlebihan yang diambil. Ini kerana, kita perlu menyeimbangi kalori yang diambil dengan kalori yang digunakan oleh tubuh badan kita bagi menjamin kesihatan berterusan.
Corak pengambilan makanan yang teratur sepatutnya dimulakan sejak awal lagi. Pepatah ada mengatakan, "Diri Anda Ialah Apa Yang Anda Makan" dan kenyataan ini benar dalam soal kesihatan. Corak pemakanan menentukan keadaan kesihatan kita kerana gizi yang tidak teratur memburukkan kesihatan. Seorang Pakar Pemakanan dari Amerika Syarikat, Frances M Lappe membuat kajian bahawa rakyat di negaranya mempunyai corak pemakanan yang tidak menyihatkan. Dalam bukunya Diet for a Small Planet, beliau mendapati penduduk negara itu memakan terlalu banyak daging, lemak, gula, alkohol, bahan penambah tetapi kurang memakan makanan berserat. Tabiat ini juga mulai merebak di kalangan rakyat Malaysia yang pada umumnya memakan kian banyak makanan terproses. Tanpa pengambilan serat, makanan mengambil masa antara 70 - 80 jam untuk melalui saluran penghadaman. Mengurangkan masa yang diambil makanan untuk melalui usus dapat melindungi daripada serangan kanser usus besar dan rektum dengan mencairkan bahan beracun yang terdapat di dalam saluran tersebut dan mempercepatkan pengeluarannya dari tubuh.
Aliran pemakanan masyarakat kini secara umumnya dipengaruhi oleh kekangan masa yang dihadapi ramai anggota masyarakat kita. Ramai yang kesuntukan masa untuk menyediakan makanan di rumah untuk keluarga. Tambahan pula terlalu banyak pilihan menarik di pasaran yang kadang-kadang menimbulkan kekeliruan untuk kita memilihnya. Pemikiran masyarakat tentang pemakanan juga dipengaruhi oleh pandangan yang bertentangan dengan kesihatan dimana ia menimbulkan kesan lebih banyak yang kita tahu, perasaan kita menjadi lebih resah. Pengguna menganggap bahawa pemakanan moden bertentangan dengan nasihat kesihatan atau bertentangan dengan pandangan tradisi.
Mengapa sebenarnya makanan segera atau terproses tidak digalakkan untuk diambil? Secara umumnya, terdapat sejumlah protein, zat besi, kalsium dan beberapa vitamin dalam makanan segera seperti burger, kentang goreng, ayam goreng dan sebagainya. Namun, kebanyakan bahan tersebut, tinggi kandungan kalorinya, direndam dalam lemak dan tinggi gula serta garam. Makanan tersebut kekurangan serat dan kebanyakan vitamin serta zat galian yang perlu oleh tubuh. Dalam hidangan itu, kekurangannya ialah keseimbangan zat makanan yang diperlukan bagi setiap menu. Ini kerana, satu sajian makanan segera akan membekalkan kepada kita separuh daripada kalori dan dua pertiga daripada lemak dan protein yang diperlukan sepanjang hari. Tetapi, jika kita mengambil makanan segera sebagai makanan ringan di antara sajian tetap bermakna kita akan mengambil lebih banyak kalori, protein dan lemak yang diperlukan oleh tubuh. Seterusnya kita akan kekurangan sesetengah zat makanan perlu yang akan membentuk pemakanan yang lengkap dan seimbang. Makanan segera juga kurang baik kepada kesihatan kerana ia mengandungi bahan penambah yang berlebihan. Ia bertujuan untuk menambahkan kelazatan, meningkatkan mutu dan  memantapkan kesegaran.
Sebagai kesimpulannya, sekali lagi ditegaskan bahawa makanan segera mempunyai kesan buruk kepada kesihatan jika kita tidak bijak memilihnya dan mengambilnya secara berlebihan atau kerap. Walaupun makanan segera adalah lebih lazat, tetapi kandungan yang tersembunyi di dalamnya cukup untuk mengundang kepada penyakit yang tidak diingini jika kita mengambilnya secara keterlaluan. Oleh itu, kita perlu mengamalkan pendekatan yang dianjurkan oleh Islam yang menggalakkan bersederhana (wasatiah) walaupun dalam bab pemakanan. Ini kerana, terlalu banyak mengambil makanan yang melebihi keperluan kita juga boleh menyebabkan masalah kesihatan dan kurang mengambil makanan juga menampilkan kesan yang buruk. Justeru, kita sebagai pengguna sepatutnya mampu serta bijak dalam memilih makanan yang terbaik untuk diri kita serta mengutamakan sumber halal agar kesihatan rohani kita juga terjamin.

SUMBER : IKIM
loading...

0 Response to "PENGGEMAR MAKANAN SEGERA PERLU AMBIL TAHU!!!!"

Post a Comment